Wednesday, October 22, 2008

WAJAH PENEROKA CERIA LAGI

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan semalam bahawa peneroka Felda di seluruh negara akan menerima bayaran bonus insentif berjumlah RM144.44 juta pada tahun ini. Menurut beliau, pemberian bonus ini adalah sebagai menghargai sumbangan golongan ini terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara. “Ini juga sebagai satu insentif untuk peneroka yang menghantar hasil kepada Felda,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya bersama warga Felda di sini semalam. Najib berkata pembayaran bonus insentif ini melibatkan seramai 84,581 atau 75.1 peratus daripada 112,635 peneroka Felda seluruh negara. “Walaupun jumlah ini berkurangan berbanding tahun lalu, namun jumlah bayaran insentif kepada peneroka yang memperolehi hasil maksimum meningkat dari RM1,800 kepada RM2,000,” katanya. Secara purata, harga sawit pada tahun ini bagi MSM ialah RM3,237.72 setan, FFB RM691.36 setan manakala harga getah SMR 20 ialah RM9.15 sekilogram. “Kadar purata ini lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu MSM RM2,516.50, FFB RM558 setan dan SMR 20 RM7.20 sekilogram,” katanya. Beliau berkata bayaran bonus insentif produktiviti peneroka 2008 akan dibayar Disember ini. “Pada tahun ini peneroka yang terlibat menerima bayaran secara tunai di pejabat rancangan dan tiada bayaran dalam bentuk sijil saham koperasi permodalan Felda (KPF),” katanya.

No comments: