Wednesday, June 18, 2008

Lelaki Cuma Tiada di IPTA.

Lelaki tumpu kemahiran
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL(WARTAWAN UTUSAN)
REMAJA lelaki kini cenderung mengikuti bidang keusahawanan daripada kerja makan gaji.
KEBIMBANGAN terhadap trend pelajar wanita yang menguasai institusi pengajian tinggi (IPT) pernah disuarakan sebelum ini apabila nisbah menunjukkan pelajar lelaki dan perempuan 60:40, iaitu 60 peratus bagi pelajar pe- rempuan dan 40 peratus bagi pelajar lelaki.
Perbandingan yang dicatatkan di kebanyakan IPT itu menimbulkan polemik yang pelbagai termasuk isu kualiti generasi muda lelaki hari ini dalam persediaan menempuh cabaran negara yang lebih getir pada masa depan.
Turut dikaitkan adalah kesannya terhadap sosio dan budaya dalam masyarakat apabila meningkatnya bilangan wanita berpendidikan dikatakan turut menyebabkan lebih ramai golongan itu berkahwin pada usia lewat, atau tidak berkahwin langsung.
Sejauh mana keterbukaan dasar dan polisi kerajaan yang memberi peluang pendidikan sama rata kepada semua penduduk tanpa mengira gender itu memberi kesan seperti yang dibimbangi, sebenarnya terlalu subjektif untuk dinilai.
Sementelah ia berkait rapat dengan usaha dan kegigihan seseorang untuk memajukan diri, kebijaksanaan dan kejayaan yang diperoleh sewajarnya tidak dibandingkan dengan apa-apa perkara, apatah lagi kegagalan di pihak yang lain.
Ibaratnya ketika padang dibuka sama rata, kenapa perlu ada pihak yang mempersoalkan kejayaan dan kelebihan golongan tertentu yang bertanding di gelanggang serupa?
Meningkatnya bilangan pelajar wanita di IPT ketika ini seperti yang dipersetujui banyak pihak turut berpunca daripada konsep pendidikan terutamanya di peringkat IPT seperti yang diamalkan di negara ini.
Berorientasikan peperiksaan yang memerlukan ketekunan dan semangat mengulang kaji pelajaran yang tinggi, konsep pendidikan sebegitu perlu diakui memberi kelebihan kepada pelajar perempuan.
Pelajar lelaki pula tidak ramai yang jenis ulat buku, sebaliknya lebih selesa mengembangkan bakat dan kemahiran diri secara praktikal.
Ini sekali gus menjelaskan mengapa golongan itu lebih ramai di kolej komuniti seperti di Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Mara (IKM), biarpun sebenarnya berkelayakan melanjutkan pelajaran di IPT.
Lalu jika trend pelajar perempuan yang lebih mendominasi IPT ketika ini dilihat sebagai satu masalah, maka sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan seperti diamalkan di gedung ilmu itu tidak dapat mengelak daripada dipersalahkan.
Persoalannya berbaloikah sistem pendidikan itu dikaji semula dan dirombak, apabila dasar yang sudah bertahun-tahun lamanya diamalkan itu lebih menonjolkan pelajar perempuan?
Atau pertanyaan yang lebih besar lagi, apakah penguasaan pelajar perempuan di IPT itu benar-benar menjadi masalah kepada negara dan mengancam sosio dan budaya masyarakat pada masa depan?
Bagi pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nazarudin Zainun, sejauh mana penguasaan pelajar wanita di IPT mengancam sosio dan budaya masyarakat seperti yang digembar-gemburkan ketika ini bergantung kepada persepsi orang yang menilai.
Beliau bagaimanapun secara peribadi berpendapat, tidak ada salahnya negara mempunyai lebih ramai kaum wanita yang berpelajaran tinggi kerana fitrahnya, golongan inilah juga yang akan melahirkan dan membesarkan generasi masa depan yang juga berpendidikan.
Boleh dianggap sebagai ejen sosialisasi masyarakat yang cemerlang, golongan wanita yang berpendidikan tinggi apatah lagi yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, bakal memberi didikan yang sempurna dan lebih baik kepada anak-anak mereka sesuai dengan taraf pendidikan yang dimiliki.
Menjelaskan lebih lanjut, Nazarudin berkata, trend kaum wanita yang lebih berpendidikan berbanding kaum lelaki hanya berlaku di negara ini, dan tidak wujud di negara lain waima di negara maju seperti Jepun kerana kekangan budaya.
KeterbukaanSenario itu sangat mudah untuk dikaitkan dengan dasar keterbukaan dan peluang sama rata dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan kerjaya yang ditawarkan oleh kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sedangkan di kebanyakan negara lain seperti di negara jiran misalnya, masih wujud diskriminasi yang memberikan kelebihan kepada kaum lelaki seperti gaji yang lebih tinggi biarpun melakukan kerja yang sama.
Begitu juga di negara-negara di Asia Barat, yang mana masih ada kaum wanita yang tidak dibenarkan memandu selain dinafikan jawatan yang lebih tinggi dalam masyarakat.
''Kekangan budaya yang membataskan wanita untuk meningkatkan taraf diri hampir tidak wujud di negara ini. Sekalipun ada dasar yang memberi keutamaan kepada lelaki, ia hanya melibatkan kes yang sangat terpencil dan kebiasaannya sesuai dengan saranan agama.
''Justeru, wanita di negara ini mempunyai ruang yang cukup luas untuk menjadi individu yang berjaya," katanya.
Menyentuh mengenai kebimbangan sesetengah pihak mengenai kedudukan wanita yang lebih berpelajaran dalam institusi kekeluargaan, Nazarudin berpendapat, masyarakat moden hari ini lebih berfikiran terbuka dan boleh menerima perubahan termasuk golongan lelaki yang menjadi surirumah.
Meskipun tidak digalakkan oleh agama, namun sekiranya kerukunan dan kebahagiaan dalam rumah tangga dapat di- pertahankan, budaya Mr. Mama itu bukanlah sesuatu yang janggal malah sudah ada yang mengamalkannya di negara ini.
''Begitu juga apabila ada pihak yang mengaitkan wanita berpelajaran ini dengan masalah lewat berkahwin atau tidak berkahwin langsung, hakikatnya dalam komuniti kita ketika ini, banyak pasangan yang isteri lebih berjawatan dan bergaji tinggi berbanding suami dan dalam masa yang sama tetap hidup bahagia," katanya.
Beliau menambah, meskipun bilangan wanita yang berpelajaran ketika ini semakin tinggi, namun dalam prospek kerjaya, golongan tersebut hanya mengisi beberapa jawatan yang sebelum ini lebih didominasi oleh kaum lelaki.
Sedangkan beberapa jawatan penting dan utama lebih-lebih lagi yang membabitkan kekuatan fizikal, masih lagi dipelopori oleh kaum lelaki.

Biar Betul

Peraduan Celcom berunsur judi
KUALA LUMPUR 17 Jun - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati peraduan 100 hari 100 kereta anjuran syarikat telekomunikasi Celcom (M) Bhd., mempunyai unsur- unsur perjudian.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz berkata, peraduan itu jelas tidak mematuhi hukum syariah dan menggalakkan pembaziran.
"Tidak boleh. Peraduan ini mengandungi unsur judi.
"Kita minta Celcom batalkan peraduan ini. Kalau mahu juga, buat pertandingan lain yang selari dengan hukum syarak,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Semalam, Celcom mengumumkan akan mengadakan pertemuan kali kedua dengan Jakim untuk membincangkan status peraduan 100 hari 100 kereta anjuran syarikat telekomunikasi itu yang didakwa mempunyai unsur perjudian.
Difahamkan Celcom akan membentangkan secara terperinci kesemua butiran peraduan berkenaan di hadapan Panel Syariah Jakim.
Jelas Wan Mohamad, mesyuarat khas panel kajian syariah Jakim hari ini bersetuju untuk memutuskan pertandingan itu jelas menggalakkan pembaziran.
Peraduan 100 hari 100 kereta anjuran Celcom didakwa berunsur perjudian oleh beberapa tokoh agama kerana bayaran perlu dibuat untuk menjawab setiap soalan seperti dalam kegiatan judi nombor ekor.
Peraduan yang bermula 2 Jun lalu dan berakhir 9 September ini menawarkan sebuah kereta setiap hari kepada pemenang yang mengumpul mata tertinggi selepas menjawab soalan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Peraduan berbentuk promosi itu berlangsung selama 100 hari dan dibuka kepada kesemua pelanggan Celcom.